KUCHING, 23 Julai: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Taman Alamanda Indah pada semalam mengadakan program lawatan ke Mukah.
Rombongan 31 orang peserta yang menaiki 10 buah kenderaan dari Kuching pada pagi 22 Julai telah disambut Adun Telian Royston Valentine.
Menurut ketuanya Ahmad, rombongan akan berada di Mukah dengan objektif lawatan untuk membawa ahli mengenali kawasan Mukah dan membawa ahli rombongan untuk membeli-belah.
“Mukah terkenal dengan Sagu, umai, kuih kuih tradisional, dan pelbagai cenderamata hasil kraftangan.
“Justeru, kami akan membelinya dan membawa pulang ke Kuching,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selama berada di Mukah, tambah Ahmad, rombongan turut akan melawat ke Dalat dan Oya.
Dalam pada itu, Royston berbesar hati menerima rombongan dan berharap lebih banyak lagi rombongan lain akan datang.
“Kami sebagai tuan rumah, akan sedaya upaya memberikan best hospitaliti kepada rakan-rakan yang hadir mengunjungi kami,” kata Royston.
Jelas beliau, pihaknya dengan kerjasama pihak pejabat residen dan pihak pejabat daerah turut membantu merancang destinasi kunjungan pihak rombongan.
Ia melibatkan Galeri Warisan Melanau, Pekan Sabtu, Tebingan Sungai Dalat dan Tapak Kala Dana. — DayakDaily