Bantuan JKM tidak terjejas — Fatimah

Fatimah (tiga dari kiri) di Simposium Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Kuching.

KUCHING, 23 Julai: Keputusan Kerajaan Persekutuan untuk mengamalkan penjimatan tidak akan menjejaskan peruntukan bantuan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada Sarawak.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, jika terdapat perubahan pada dasar pihaknya tidak teragak-agak untuk memohon bantuan daripada kerajaan negeri.

“Tidak ada perubahan setakat ini dan apa yang saya perhatikan, walau apa pun masalah yang dihadapi, yang diutamakan oleh kerajaan adalah kebajikan rakyatnya dahulu.


“Kumpulan rentan memang tidak akan dipinggirkan daripada mendapatkan bantuan bulanan oleh JKM,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Simposium Pendidikan Awal Kanak-Kanak di sini, hari ini.

Menurut Fatimah, sebelum ini pun negara telah melalui pelbagai era kesusahan namun ia tidak menjejaskan dari segi peruntukan bagi tujuan kebajikan.

Katanya, antara bantuan kebajikan bulanan yang disediakan kerajaan persekutuan ialah bantuan untuk ibu bapa tunggal di bawah Skim Bantuan Kanak-Kanak, Bantuan Warga Emas, Bantuan OKU Bekerja dan Tidak Bekerja serta Bantuan Pesakit Terlantar.

Bagaimanapun, tegas Fatimah, sekiranya ketetapan syarat yang ditentukan oleh kerajaan persekutuan tidak dapat dipenuhi oleh pemohon, maka pihaknya akan cuba untuk memenuhi. — DayakDaily