PBB optimis kekalkan kemenangan di 14 kerusi tradisi dalam PRU14

Abang Johari (dua dari kanan) menerima cenderahati daripada Douglas.

KUCHING, Mac 14: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak optimis mampu mengekalkan kemenangan bergaya dengan menyapu bersih kesemua 14 kerusi yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

Ketua Menteri merangkap Presiden PBB, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, parti tulang belakang Barisan Nasional (BN) Sarawak itu dijangka mampu mengulangi kejayaan yang dicapai dalam PRU13.

Menurutnya, kesatuan serta keutuhan PBB merupakan kunci kepada kemampuan parti tersebut untuk mengekalkan kemenangan sekali lagi.

“Selama ini, kita telah bekerja dalam satu pasukan yang kuat dan bersatu sekali gus membolehkan kita mengekalkan kemenangan di semua 14 kerusi yang kita bertanding.

“Pada masa sama, saya yakin parti komponen BN negeri juga mampu mencapai keputusan positif dalam PRU14,” katanya ketika berucap pada Majlis Sekalung Budi, Sejambak Kasih di sini malam tadi.

Majlis tersebut diadakan bagi merakamkan penghargaan kepada pihak yang dalam Perhimpunan Agung PBB Ke-14 pada Feb 8 hingga 12 lalu.

Abang Johari menambah, BN negeri ini akan menterjemahkan sumbangan yang diberi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Sarawak kepada kejayaan gemilang dalam PRU14 kelak.

Jelasnya, rakyat di negeri ini harus terus menyokong kerajaan sedia ada demi memastikan kelangsungan pembangunan di Sarawak.

“Kalau dibandingkan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang 22 tahun sebagai Perdana Menteri, beliau telah mengabaikan Sarawak.

“Sebab itu, jangan pisang berbuah dua kali. Kita perlulah melindungi hak Sarawak dan hala tuju negeri ini perlu ditentukan oleh rakyat Sarawak sendiri bukan orang lain,” ujarnya lagi.

Turut hadir sama dalam majlis itu ialah Timbalan Presiden PBB merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Perhimpunan Agung PBB Ke-14, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Naib Presiden Kanan Datuk Seri Fadillah Yusof dan Datuk Seri Michael Manyin Jawong. — DayakDaily