PBB harus bersedia dari sekarang untuk menghadapi PRN12 — Dr Abdul Rahman

Dr Abdul Rahman (tengah) mempengerusikan mesyuarat 'post-mortem' PRU14 bagi PBB Pantai Damai.

KUCHING, Mei 21: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) harus mula bersedia dari sekarang agar dapat mengekalkan keyakinan rakyat kepada parti dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) yang dijangka diadakan dalam tiga tahun akan datang.

Naib Presiden PBB, Dr Abdul Rahman Junaidi berkata setiap cawangan parti kini perlu memperkemaskan jentera termasuk di peringkat ranting dengan pendekatan terbaharu, termasuk meningkatkan lagi keahlian masing-masing.

“Kita tidak boleh terlalu selesa sebaliknya harus meningkatkan lagi usaha untuk memantapkan parti agar terus kukuh, selain kekal menjadi sebuah parti politik yang bebas dan berkecuali,” katanya.


Beliau menyatakan demikian sempena mempengerusikan mesyuarat ‘post-mortem’ PRU14 bagi PBB Pantai Damai, semalam.

Menurut beliau, kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 harus dijadikan iktibar untuk PBB amnya, dengan bersedia sepenuhnya dari awal lagi terutama dalam mengumpulkan maklumat di akar umbi untuk disampaikan kepda kepimpinan parti.

“Semua maklumat ini sangat penting untuk kita ambil tindakan dan melakukan penambahbaikan agar PBB terus mendapat kepercayaan daripada rakyat untuk memimpin Sarawak,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Bekalan Elektrik dan ADUN Pantai Damai menjelaskan PBB masih perlu bekerjasama baik dengan kerajaan persekutuan yang kini di bawah Pakatan Harapan (PH) demi meneruskan kesinambungan pembangunan di Sarawak. — DayakDaily