Ketua masyarakat jadi ‘mata dan telinga’ pihak kerajaan banteras pembalakan haram

Peserta yang mengambil bahagian dalam kempen kesedaran pembalakan haram serta pencerobohan kawasan terlindung.
Advertisement

LUNDU, Mei 21: Ketua masyarakat perlu menjadi ‘mata dan telinga’ kepada Jabatan Hutan Sarawak khususnya bagi membantu usaha membanteras pembalakan haram, pencerobohan kawasan terlindung sepenuhnya dan pemburuan hidupan liar secara haram di Sarawak.

Selain itu, golongan terbabit juga perlu mempertingkatkan lagi kefahaman rakyat terutama di kawasan luar bandar mengenai usaha gigih kerajaan dalam memastikan sumber flora dan fauna sentiasa dipelihara.

Sehubungan itu seramai 101 orang Ketua Masyarakat termasuk Pemanca, Penghulu, Ketua Kaum dan Ketua Kampung bagi kawasan Lundu dan Sematan telah mengambil bahagian dalam kempen tersebut di Majlis Daerah Lundu di sini hari ini.

Advertisement

Kempen yang diadakan dengan kerjasama Pejabat Daerah Lundu ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada orang awam mengenai usaha pencegahan dan penguatkuasaan oleh Jabatan Hutan Sarawak.

Di samping itu, kempen seumpamanya mendidik orang awam cara untuk mengenalpasti aktiviti pembalakan haram serta balak haram, pencerobohan kawasan terlindung sepenuhnya dan kegiatan eksploitasi hidupan liar di Sarawak seperti yang termaktub di dalam Forest Ordinance 2015 (Cap.71), Wild Life Protection Ordinance 1998 dan National Parks and Nature Reserves 1998.

Selain itu, kempen tersebut juga menjadi medium untuk berkomunikasi dan mendapatkan maklumat, pendapat serta untuk menjalin kerjasama dalam menangani kegiatan memusnahkan hutan dan hidupan liar.

Wakil Pemangku Pengarah Hutan Sarawak, Abdul Wahab Ahmad selaku Penolong Pengarah Hutan Kanan Bahagian Pencegahan dan Penguatkuasaan berharap kempen seperti itu dapat membantu ketua masyarakat di dalam menjaga kawasan masing-masing.

Jelasnya, ia penting bagi mengawal aktiviti anak buah agar tidak terlibat dengan kegiatan yang melanggar ordinan yang menjadi panduan di dalam kempen itu.

Pegawai Daerah Lundu, Awang Putrayusrie Awang Redzuan dalam ucapannya turut menyeru agar semua Ketua Masyarakat untuk menjadi mata dan telinga pihak Jabatan Hutan Sarawak di kawasan masing-masing.

Katanya, di samping memohon program seperti ini dilaksanakan dengan lebih kerap agar penduduk setempat sentiasa prihatin dan ambil maklum isu-isu semasa berkenaan perhutanan di Sarawak.

“Sokongan dan dorongan pihak Pejabat Pejabat Daerah Lundu juga amat mengalakkan di dalam usaha murni ini.

“Kempen seperti ini penting dalam memberi maklumat dan info yang penting di dalam usaha membanteras aktiviti pihak dan individu yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Jabatan Hutan Sarawak juga kini membuka banyak saluran untuk memudahkan orang awam menyalurkan maklumat antaranya melalui talian hotline bernombor 1-800-88-7777.

Atau laporkan maklumat melalui talikhidmat dengan menghubungi 555999 atau taip “555999 HANTAR (Aduan anda) dan SMS ke nombor 62999 serta melalui email di 555999.sarawak.gov.my. —DayakDaily

Advertisement