Pasukan tentera patahkan cubaan seludup keluar motosikal curi

Anggota tentera menyerahkan motosikal curi di IPD Bau.

BAU, Ogos 21: Dua lelaki warga Indonesia berputih mata apabila cubaan mereka untuk menyeludup keluar sebuah motosikal curi di sempadan Malaysia-Indonesia di Serikin di sini telah digagalkan pasukan tentera, semalam.

Jurucakap Divisyen Pertama Infantri Malaysia berkata, kejayaan itu adalah hasil operasi rutin di kawasan sempadan negara yang dilakukan pasukan tentera dari Rejimen ke-4 Kor Armor Diraja kira-kira pukul 1 petang.

Katanya, semasa menjalankan tugas rondaan itu, pasukan tentera telah terserempak dengan dua lelaki yang menaiki motosikal jenis Yamaha LC 135 sedang melalui lorong tikus berhampiran sempadan negara.

“Anggota bomba kemudian cuba menahan kedua-dua lelaki yang menaiki motosikal tersebut untuk pemeriksaan lanjut.

“Bagaimanapun, apabila kedua-dua lelaki menyedari kehadiran anggota tentera, mereka kemudian melarikan diri ke kawasan sempadan dan meninggalkan motosikal di kawasan itu,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama memberitahu, hasil pemeriksaan mendapati yang ditemui semula itu adalah motosikal curi dan pernah dilaporkan hilang.

“Pasukan tentera kemudian menyerahkan motosikal itu kepada polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya lagi. — DayakDaily