Wanita warga emas melecur pada tangan dan pipi akibat kebakaran

Anggota bomba berusaha memadam kebakaran sebuah rumah di Sungai Sebubut, Matang Batu 10.

KUCHING, Ogos 21: Seorang wanita warga emas melecur pada tangan dan pipinya selepas kediaman yang didiaminya di Sungai Sebubut, Matang Batu 10 di sini musnah terbakar 100 peratus, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.55 petang itu, mangsa, Maznah Jasa, 62, melecur pada bahagian tangan dan pipi kanannya akibat terkena api.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.56 petang.


Katanya, bertindak hasil maklumat itu, sepasukan sembilan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya telah bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Selain itu, 10 anggota bomba dari BBP Batu Lintang turut diarahkan ke lokasi kebakaran bagi membantu operasi tersebut.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar sebuah rumah setingkat berstruktur kayu jenis tidak kekal,” katanya di sini hari ini.

Tiong menambah, api marak dengan cepat disebabkan struktur rumah berkenaan diperbuat daripada bahan-bahan yang mudah terbakar.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati seorang wanita yang mendiami kediaman berkenaan mengalami kecederaan.

“Pasukan bomba dari Unit Kecemasan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan (EMRS) kemudian memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum membawanya ke Klinik Kesihatan Petra Jaya untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

“Ketika ini, kami masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu,” katanya lagi. — DayakDaily