Pasukan 13RAMD berkas lelaki cuba seludup keluar tiga motosikal curi

Anggota tentera dari 13RAMD menahan suspek yang disyaki mencuri tiga buah motosikal.

SERIKIN, April 13: Pasukan Batalion Ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja (13RAMD) berjaya menahan seorang lelaki warga Indonesia yang cuba membawa keluar tiga buah motosikal curi di kawasan sempadan Sarawak-Kalimantan Barat di sini semalam.

Pasukan 13RAMD yang diketuai oleh Lt Kol Ismahizan Ishak itu berjaya menahan suspek terbabit pada pukul 4 petang.

Jurucakap 13RAMD berkata, sebelum itu pasukan tentera yang sedang melakukan operasi rutin di kawasan sempadan mengesan pergerakan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.


Katanya, curiga dengan pergerakan lelaki itu, pasukan tentera tersebut kemudian bertindak menahan suspek.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui tiga buah motosikal yang disyaki dicuri dan hendak diseludup keluar ke Kalimantan Barat, Indonesia,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jurucakap sama menambah, suspek warga asing serta tiga buah motosikal curi itu telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau untuk tindakan lanjut.

“Anggaran nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM26,000,” ujarnya lagi. — DayakDaily