Abang Jo: Kerajaan negeri sedia salurkan bantuan jika kerajaan persekutuan hentikan bantuan kebajikan

Abang Johari (empat dari kanan) melakukan simbolik penyerahan sumbangan bungkusan Aidilfitri.

KUCHING, Mei 23: Kira-kira 56,800 penerima bantuan kebajikan di negeri ini boleh menarik nafas lega selepas kerajaan negeri ini bersedia menyalurkan bantuan sekiranya kerajaan persekutuan bertindak menghentikan pemberian bantuan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, bantuan kebajikan itu tetap akan diteruskan meskipun kerajaan persekutuan kini ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH).

Jelasnya, penerima bantuan bulanan kebajikan adalah seperti bantuan orang tua, bantuan kanak-kanak, bantuan am, elaun pekerja cacat, bantuan penjagaan orang kurang upaya (OKU), bantuan penjagaan pesakit terlantar, bantuan OKU tidak berupaya bekerja, bantuan anak pelihara, ibu tunggal dan lain.


“Sekiranya kerajaan persekutuan menghentikan penyaluran bantuan kebajikan itu, kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan seumpamanya.

“Ini adalah kerana kerajaan negeri memiliki sumber pendapatan yang cukup untuk tujuan berkenaan,” katanya selepas Majlis Sumbangan Bungkusan Aidilfitri untuk pasukan keselamatan di sini hari ini.

Dalam majlis itu, kira-kira 8,000 bungkusan kuih telah diagihkan kepada 10 agensi keselamatan yang bertugas sepanjang Aidilfitri tahun ini.

Pada masa sama masyarakat yang kurang mampu dan memerlukan bantuan seumpama ini diseru supata datang ke Jabatan Kebajikan Masyarakat dan membuat permohonan bantuan.

Dalam pada itu, dalam usaha kerajaan menetapkan pertimbangan pemberian bantuan, garis panduan kemiskinan diguna pakai.

Memberi contoh kepada perkara itu, masyarakat bekerja yang mendapat gaji RM990 dan ke bawah layak menerima bantuan daripada JKM.

Sesiapa yang bekerja dan mendapat gaji RM990 dan ke bawah layak menerima bantuan, iaitu daripada tujuh bantuan sedia ada daripada JKM mengikut kesesuaian dan keperluan. — DayakDaily