Pasangan suami isteri hilang dipercayai jatuh laut

Kelihatan bot ditemui milik pasangan suami isteri yang hilang.
Advertisement

BETONG, April 18: Sepasang suami isteri dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke laut berhampiran Kampung Hulu Semarang di sini hari ini.

Sebelum kejadian itu, pasangan suami isteri tersebut, Yunus Morni, 58, dan Zahara Hamzah 54, dikatakan keluar ke laut untuk menangkap ikan pada kira-kira pukul 7 pagi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 12.11 tengah hari.

Advertisement

Katanya, sejurus menerima maklumat, 12 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong, BBP Sarikei dan BBP Saratok telah diarahkan ke lokasi untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

“Berdasarkan keterangan daripada saksi iaitu Madihi Rahmat, dia telah menemui bot pasangan suami isteri tersebut pada pukul 9 pagi.

“Namun, pasangan suami isteri berkenaan tiada di dalam bot mereka, dan dipercayai terjatuh ke laut dengan keadaan pukat yang masih dalam proses untuk dilabuhkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tiong menambah, pihak bomba bersama agensi lain dan penduduk kampung telah membuat pencarian dengan kaedah pencarian di atas permukaan sungai.

Katanya, kawasan operasi pencarian itu diperluaskan sehingga 2 kilometer dari lokasi bot pasangan terbabit ditemui.

“Bagaimanapun, setakat pukul 6 petang ini, kedua-dua mangsa masih belum ditemui.

“Operasi mencari dan menyelamat akan bersambung awal pagi esok,” katanya lagi. — DayakDaily

Advertisement