Bomba lakukan khidmat khas selamatkan dua kanak-kanak terkunci dalam bilik

Kanak-kanak yang selamat diserahkan kepada ibu mereka.

KUCHING, April 18: Pasukan bomba dan penyelamat telah melakukan khidmat khas mengeluarkan dua kanak-kanak lelaki yang terkunci di dalam bilik tidur di sebuah rumah di Taman Matang Jaya di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya Muhd Mirza Dzalmira Miraj berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6.42 petang.

Katanya, sejurus menerima maklumat tersebut, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke rumah ahli keluarga kedua-dua kanak-kanak terbabit.


“Apabila sampai, anggota bomba mendapati dua kanak-kanak masing-masing berusia 2 tahun dan 7 bulan telah terkunci di dalam sebuah bilik tidur.

“Pasukan bomba kemudian bertindak membuka pintu bilik itu dengan menggunakan peralatan khas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Muhd Mirza menambah, anggota bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk membuka pintu bilik berkenaan.

“Sebaik berjaya membuka pintu, anggota bomba kemudian memeriksa keadaan kanak-kanak terbabit.

“Tiada sebarang kecederaan dialami oleh kanak-kanak berkenaan sebelum mereka diserahkan kepada keluarga mereka,” ujarnya lagi. ā€” DayakDaily