Pasangan kekasih ditahan kantoi curi telefon bimbit di Miri

Kedua-dua suspek (berdiri empat dan lima dari kiri) ditahan polis

Oleh Brad Rantayy

MIRI, Ogos 9: Kelicikan sepasang kekasih memecah masuk sebuah kedai membaiki telefon bimbit dan melarikan sebanyak tujuh unit telefon bimbit milik pelanggan yang sedang dalam pembaikan termasuk sebuah telefon pintar baharu pada Julai lepas, berakhir semalam apabila kedua mereka ditahan polis.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, kedua-dua suspek berusia 25 dan 27 tahun itu ditahan sekitar jam 6.30 petang semalam di sebuah rumah di Batu 8, Kampung Bersatu Baru, Jalan Miri-Bintulu.


Turut dirampas semasa tangkapan suspek adalah tiga unit telefon bimbit pelbagai jenama disyaki hasil curi.

Pada 18 Julai lepas, sebuah kedai membaiki dan menjual telefon bimbit di Riam di sini telah dipecah masuk .

Sebanyak tujuh unit telefon bimbit pelbagai jenama milik pelanggan kedai terbabit yang dihantar untuk dibaiki telah hilang dalam kejadian itu.

Sebuah telefon pintar yang masih baharu turut dicuri.

Susulan kejadian, satu laporan polis telah dibuat pemilik kedai terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah masuk kedai tersebut. — DayakDaily