Pasangan kekasih dicekup ‘lagi’ terlibat dadah

Royal Malaysia Police logo

KUCHING, 18 Nov: Sepasang kekasih tidak pernah serik apabila ditangkap lagi meskipun pernah ditangkap berkali-kali sebelum kerana terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan berkata suspek lelaki, 28, bersama teman wanitanya, 25, ditangkap dalam satu operasi ke atas sebuah rumah di Batu 12 Jalan Kuching-Serian sekitar jam 11.50 pagi.

Aidil memberitahu, pasukan operasi menjumpai dadah jenis syabu seberat 0.22 gram.


“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah telah menjumpai satu peket plastik lutsinar yang mengandungi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah syabu dari atas lantai bawah pintu bilik tidur,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, kedua-dua suspek kemudian ditahan untuk siasatan lanjut.

“Selain itu, hasil saringan air kencing juga mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

“Semakan rekod juga mendapati suspek lelaki pernah ditangkap enam kali dan teman wanitanya pernah ditangkap sebanyak tiga kali masing-masing di bawah Seksyen 12 dan 15 Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan. — DayakDaily