PAS Sarawak: Perikatan Nasional perlu menjadi kerajaan inklusif

Zharudin Narudin

KUCHING, Mac 3: Kerajaan Perikatan Nasional yang dibentuk dari pelbagai blok parti dilihat kukuh sekiranya terus diberi peluang, ruang serta sokongan rakyat.

Ketua Penerangan PAS Sarawak, Zharudin Narudin berkata, blok-blok yang membawa suara yang pelbagai ini akan dilihat lebih inklusif dan bertahan lama sekiranya dasar bersama dapat dibina seawalnya.

“Ini terbukti apabila Barisan Nasional mampu bertahan selama 60 tahun kerana konsensus bersama yang terbina dalam tempoh tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.


Tambah beliau, saat ini sangat penting kerana Perikatan Nasional ini terbina dalam suasana ekonomi yang mencabar dan ancaman virus Covid-19 yang menambahkan kelembapan ekonomi dunia.

Malaysia perlu bangkit semula dan meneruskan pembinaan negara yang terhenti seketika kerana polemik politik, katanya.

“Nilai ringgit perlu dinaikkan, pasaran saham perlu kekal utuh bagi memastikan ekonomi negara berada dalam keadaan stabil.

“Menyakinkan orang luar terutama pelabur bahawa negara berada dalam keadaan stabil cukup penting,” katanya lagi.

Zharudin yakin ucapan khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyebut dirinya sebagai perdana menteri untuk semua akan membangkitkan semangat anak watan untuk memberinya peluang berkhidmat dengan lebih iklusif bersama komponen parti politik lain dalam sebuah kerajaan yang lebih kukuh persefahaman dan konsensusnya.

Oleh itu, kata beliau, dasar bersama yang disebut tadi perlu dirangka dan diperkenalkan segera kepada rakyat.

“Kesilapan yang perlu dipelajari dari kerajaan PH adalah kerana persefahaman mereka yang longgar walaupun mereka berkeras menafikannya.

“Rakyat mempercayai bahawa tidak mungkin polemik peralihan kuasa antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohammad akan dapat dibuat begitu mudah.

“Perpecahan serta pertelingkahan antara pemimpin parti mereka juga menyumbang kepada cerminan tidak stabilnya kerajaan PH,” ujar beliau. — DayakDaily