PAS: MPKK tak sesuai di Sarawak

Zharudin Narudin

KUCHING, 26 Sept: Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) tidak sesuai dilaksanakan di Sarawak memandangkan ia mampu menggugat keutuhan masyarakat setempat, jelas ketua penerangan PAS Sarawak Zharudin Narudin.

Jika MPKK membawa kepada kecelaruan kepada masyarakat, apa ertinya ia dilaksanakan, katanya.

“Sudah tentu kecelaruan itu berpunca dari organisasi yang sememangnya melantik seseorang yang mengikut arahan parti pemerintah. Jika dua ketua dalam sebuah kampung maka siapakah yang akan didengari oleh rakyat?


“Ancaman perpecahan dalam masyarakat harus dinilai oleh Pakatan Harapan agar tidak mengelirukan rakyat. Kajian perlu menyeluruh sebelum dilaksanakan.

“Jangan pula kerana ingin berlumba untuk berkuasa, maka sanggup melakukan apa sahaja untuk kepentingan parti,” kata Zharudin dalam satu kenyataan akhbar, hari ini.

Zharudin menambah, rakyat telah banyak kali menegur Pakatan agar lebih bijak dalam mentadbir.

“Semangat kepartian perlu dibuang sejauhnya oleh Pakatan jika benar mahu Sarawak terus menerima arus pembangunan yang berterusan. Menggadai nasib rakyat hanya akan merugikan negara dan negeri ini.

“Justeru, PAS berpendapat MPKK tidak lebih hanyalah sebagai satu saluran untuk Pakatan mengawal rakyat Sarawak dan bersaing dengan organisai komuniti dibawah GPS (Gabungan Parti Sarawak) untuk memastikan mereka menang pada pilin raya negeri akan datang,” katanya.

Kata Zharudin, rakyat Sarawak amat menikberatkan perpaduan yang menjadi asas kepada kestabilan sosio-ekonominya.

“Ia juga banyak dipengaruhi oleh polisi yang menyokong kearah perpaduan kaum.

“Kini, cabaran dua entiti dari parti berbeza antara kerajaan pusat dan Sarawak akan menjadikan negeri ini tersepit kerana disebalik polisi yang dibuat, berkemungkinan bermotifkan politik kepartian,” beliau berpendapat.

Tegas Zharudin, rancangan supaya MPKK dilaksanakan di Sarawak merupakan salah satu polisi yang perlu mempunyai interaksi yang baik diantara kedua-dua kerajaan.

Jika tidak, banyak masalah percanggahan yang semestinya akan berlaku dan rakyat adalah mangsa korban.

Fungsi ketua kampung, penghulu, kaunselor dan pelbagai jawatan yang diwujudkan dalam masyarakat seharusnya sudah memberi manfaat yang baik kepada rakyat, katanya.

“Campur tangan atau tangan ghaib dari ‘federal’ bukanlah perkara baru di negara kita. Ianya semakin meruncing sekiranya parti yang memerintah negeri berbeza dengan parti yang berkuasa di peringkat pusat.

“Ini sudah lama terjadi kepada negeri Kelantan yang dianak tirikan sehinggalah sekarang,” dakwa beliau.

Jelas Zharudin, tujuan pentadbiran iaitu untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat dan ianya harus menjadi objektif utama sesebuah kerajaan.

“Ini merupakan objektif dalam teori pentadbiran yang kita tidak boleh ketepikan,” tambah Zharudin. — DayakDaily