Paru-Paru Hijau Sibu Jaya kini mengeluarkan hasil

Kawasan 'Paru-Paru Hijau Sibu Jaya’ kini mengeluarkan hasil. Foto: Ukas

KUCHING, 11 April: Kawasan yang dikenali sebagai ‘Paru-Paru Hijau Sibu Jaya’ kini mula mengeluarkan hasil.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), projek tanaman padi itu diusahakan oleh 10 kumpulan petani terdiri daripada penduduk Sibu Jaya.

Ia melibatkan penanaman padi secara sukarela di atas tanah seluas 14 ekar milik Amcorp.

Perasmian program menuai padi itu telah disempurnakan secara simbolik pada Khamis (6 April) oleh Kaunselor Yeo Boon Siew yang mewakili Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Kaunselor Sempurai Petrus Ngelai.

Sempurai dalam ucapannya yang dibaca oleh Yeo berkata MDLBS akan terus menyokong program seperti itu dan mahu ia diteruskan.

“Program ini amatlah bermanfaat kepada peserta-peserta kerana mereka juga mendapat hasil daripada padi yang ditanam di tanah milik Amcorp.

“Ini jelas bahawa objektif program ini sudah tercapai di mana para peserta dan Amcorp telah berjaya menghijaukan kawasan tanah terbuka dan di samping para peserta mendapat hasil daripada padi tersebut.

“Ini secara tidak langsung dapat membantu para peserta meningkatkan ekonomi mereka dan Amcorp memastikan tanah dan permandangan ataupun landskap yang indah dan menarik,” katanya. — DayakDaily