Pangsapuri mewah dijadikan pusat panggilan untuk kegiatan judi atas talian

Kelihatan suspek yang ditahan polis dalam serbuan dilakukan pagi ini (11 Nov 2020).

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 11 Nov: Dua wanita antara empat warga tempatan ditahan dalam satu serbuan di sebuah apartment mewah yang dijadikan pusat panggilan (‘call centre’) perjudian atas talian di Miri pagi ini.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Miri (IPD) pada 11.20 pagi berdasarkan risikan dan maklumat orang awam.


Hasil serbuan yang dijalankan mendapati satu unit bilik apartment disewa untuk dijadikan pusat panggilan untu kegiatan judi atas talian bagi pelanggan di negara Brunei.

Maklumat awal mendapati premis itu telah beroperasi kurang sembilan bulan dengan transaksi kewangan mencecah RM10,000 sehari.

Ruang tamu apartment dijadikan pusat operasi sindiket. Setiap ‘operator’ diberikan gaji antara RM1,500 sebulan.

Kesemua suspek berusia antara 18 sehingga 22 tahun kini ditahan di Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

Turut dirampas dalam serbuan yang diketuai ASP Unang Giang dan ASP Koay Kok Ping itu ialah empat laptop, empat telefon bimbit, sebuah CPU, dan tiga monitor komputer berbagai jenama yang digunakan sindiket bagi menjalankan kegiatan judi atas talian.

Modus operandi sindiket ialah setiap jumlah wang pertaruhan akan dikreditkan oleh pelanggan ke beberapa akaun bank dipercayai akaun luar negara dan seterusnya slip bank akan di hantar melalui SMS, WhatsApp atau Telegram ke telefon ‘operator’ dan seterusnya ‘operator’ akan memberi kata laluan kepada pelanggan untuk memulakan permainan judi.

Dalam satu lagi serbuan yang dilakukan secara berasingan, JSJ Miri juga mengempur satu lagi lokasi disyaki menjalankan aktiviti ‘calling centre’.

Serbuan sekitar jam 11.10 pagi Rabu itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Merak Taman Yakin dan seramai empat lelaki warga tempatan berusia 18 sehingga 34 tahun ditahan polis.

Pasukan polis diketuai Inspektor Erwin Geofrry Ussan itu juga turut merampas empat laptop, lima telefon bimbit dan sebuah modem WiFi di dalam rumah berkenaan.

Ketua polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah mengesahkan tangkapan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. — DayakDaily