Pakar patologi HUS dari Mesir dilaporkan hilang selepas tidak turun kerja

Dr Ahmed Mohamed Mohamed Sakr yang dilaporkan hilang.
Advertisement

KUCHING, Dis 13: Seorang pakar patologi dari Mesir dilaporkan hilang selepas tidak turun bekerja di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini sejak Dis 8 lalu.

Laporan mengenai kehilangan pakar perubatan yang dikenali sebagai Dr Ahmed Mohamed Mohamed Sakr, 62, itu dibuat oleh rakan sekerjanya di Balai Polis Satok di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Abang Ahmad Abang Julai berkata, curiga Dr Ahmed gagal hadir ke tempat bekerjanya, rakan pakar patologi yang berusia 29 tahun kemudian hadir membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Advertisement

Katanya, sebelum itu, rakan sekerjanya telah pergi ke bilik sewa Dr Ahmed di Jalan Green di sini.

“Bagaimanapun, pintu bilik sewa Dr Ahmed berkunci dari luar sebelum dia (rakan sekerjanya) tampil ke balai polis untuk tindakan selanjutnya.

“Sejurus menerima laporan berhubung kejadian, sepasukan anggota polis kemudian bergegas ke bilik sewa Dr Ahmed untuk melakukan tindakan susulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Abang Ahmad memberitahu, pihak polis terpaksa meminta bantuan pasukan Bomba untuk membuka pintu bilik sewa pakar patologi itu menggunakan peralatan khas.

Jelasnya, sejurus pintu bilik itu dapat dibuka, pihak polis mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan.

“Pemeriksaan lanjut tidak menemui Dr Ahmed, namun barang-barang milik pakar patologi tersebut masih berada dalam keadaan tanpa diusik.

“Sehubungan itu, kita menyeru orang ramai yang ada melihat Dr Ahmed agar segera tampil ke balai polis berdekatan untuk tindakan selanjutnya.

“Pada masa sama, kita akan melakukan pengesanan daripada pihak imigresen untuk mendapatkan status sama ada beliau ada ke luar negeri atau sebaliknya,” ujarnya lagi.

Abang Ahmad menambah, buat masa ini polis mengklasifikasikan kes (Dr Ahmed) sebagai orang hilang.

Orang ramai boleh menghubungi Ketua Balai Polis Satok di talian 019-828 8200 sekiranya terdapat sebarang maklumat berhubung kes tersebut. — DayakDaily

Advertisement