Warga emas hilang, ditemui selamat di Sarikei

Sekitar operasi SAR mangsa hari ini.

Oleh Juetila Ozzy

SARIKEI, 26 Mei: Seorang warga emas yang dilaporkan hilang oleh anaknya sejak Selasa ditemui selamat di Tanjung Kunyit, Paradom dekat sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata mangsa,71 tahun disedari hilang selepas dia tidak pulang selesai menerima rawatan di Hospital Sibu.


Jelasnya, anak mangsa yang berjaya menghubungi bapanya dimaklumkan bahawa mangsa yang memandu sebuah kereta telah tersesat dan berada di kawasan ladang sawit.

Bagaimanapun, telefon bimbit mangsa gagal dihubungi semula selepas itu.

Ekoran itu, anak mangsa kemudian segera melaporkan kepada Bomba dan operasi mencari dan menyelamat (SAR ) mangsa terus dilancarkan selepas itu.

Sungguhpun begitu, operasi SAR di hari pertama tidak membuahkan hasil dan terpaksa ditangguh sekitar jam 12 tengah malam tadi disebabkan kepada gelap dan menyukarkan pencarian.

Operasi SAR kemudian disambung hari ini dan sekitar jam 3 petang tadi, anak mangsa mendapat panggilan dari orang awam bahawa mangsa telah berjaya ditemui.

Menurutnya, anak mangsa kemudian terus ke lokasi kejadian dan mengesahkan memang benar bapanya ditemui dalam keadaan selamat.

Operasi SAR kemudian ditamatkan pada jam 4 petang. — DayakDaily