KM: Kepentingan awam sebab yang kuat untuk membina LRT

Perkhidmatan bas berulang alik antara bandaraya Kuching dan Kota Samarahan yang masih menjadi pengangkutan awam utama bagi orang ramai.

KUCHING, 13 Dis: Kerajaan negeri setakat ini masih kekal dengan perancangannya mahu mewujudkan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) bermula di bandaraya ini dan laluannya kemudian dipanjangkan sehingga ke Damai dan Serian walaupun akan menelan kos tinggi.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg berkata demikian kerana kerajaan negeri tidak boleh hanya mengambil kira mendapatkan semula kos tinggi mengwujudkan sistem pengangkutan itu sahaja tetapi juga perlu mengambil kira kemampuan sistem itu menambahbaik perkhidmatan pengangkutan awam kepada warga bandaraya ini.

“Kita tidak boleh mengambil kira mengenai kosnya sahaja, walaupun saya percaya kita boleh mengambil semula sekitar 50 peratus kos itu, kerana yang lebih penting lagi ialah kita dapat memberikan penduduk bandaraya ini sistem pengangkutan awam yang lebih baik,” katanya ketika ketika merasmikan Hari Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak 2017, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Sejingkat di sini, hari ini.

Seramai 5,000 penjawat awam menghadiri acara terbabit dan menyaksikan Ketua Menteri melancarkan Sarawak Multimedia Authority (SMA) dan Sarawak Digital Economy Strategy 2018-2022 serta menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti 2016, Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak 2017 dan Anugerah Pegawai Contoh Hari Perkhidmatan Awam 2017.

Abang Johari sehubungan itu berazam melancarkan perkhidmatan LRT terbabit bagi laluan sekitar bandaraya Kuching dahulu sebelum memanjangkan laluannya ke Serian dan Damai serta berkemungkinan juga terus memanjangkan laluannya ke seluruh negeri ini sekiranya teknologi itu menjadi semakin murah di masa hadapan.

Beliau berkata Sistem LRT malahan penting bagi sektor pelancongan tempatan kerana pelancong asing yang datang berkumpulan pasti akan memilih mengunakan pengangkutan awam terbabit sekiranya ada destinasi pelancongan dituju mereka terdapat dalam laluannya.

“Ketika ini pelancongan asing biasanya menggunakan perkhidmatan bas; bagaimanapun perkhidmatan bas kita ibarat mati tidak, hidup pun tidak. Mereka juga sukar mengunakan pengangkutan awam lain seperti kereta kerana had penumpang kereta seramai empat orang sahaja,” katanya.

Beliau sehubungan itu mahu negeri ini menjalankan kajian terhadap hidrogen sebagai bahan api yang dapat
mengerakkan gerabak LRT terbabit, kerana ketika ini sudah ada teknologi mendapatkan hidrogen dari air melalui proses elektrolisis ataupun proses akaline.

Menurutnya, sebuah bas dan tiga kereta mengunakan teknologi bahan api hidrogen terbabit juga dijangka mula digunakan atas jalan raya bandaraya ini pertengahan tahun hadapan dan serta mensasarkan negeri ini menjadi tempat pertama di dunia ini menyediakan pengangkutan awam mengunakan teknologi bersih itu.

Ketua Menteri juga meminta penjawat awam menyokong usaha terbabit kerana kerajaan negeri berhasrat menjadikan negeri ini sebagai pengeluar utama hidrogen sebagai bahan api kenderaan kerana mempunyai banyak sumber air.

Sebelum ini, pembangkang pernah mengkritik perancangan kerajaan negeri mewujudkan LRT terbabit kerana kosnya sehingga 20 kali ganda lebih tinggi berbanding membeli bas baru dan mengambil pemandu serta kosnya boleh sehingga mencecah RM20 bilion bagi mewujudkan laluan Kuching-Serian sahaja.

Abang Johari kemudian menegaskan LRT terbabit yang juga akan menghubungkan bandaraya Kuching dengan Samarahan bukan sekadar angan-angan kosong dan mensasarkan mewujudkan sistem itu bagi bandaraya ini dalam tempoh tiga atau empat tahun lagi. — DayakDaily