Padah ‘tayang’ pistol tiruan, seorang lelaki ditahan polis

Suspek (tengah) ditahan polis untuk tindakan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 8 April: Kurang 10 jam selepas seorang lelaki warga tempatan dipercayai pembuli jalan raya telah ditahan pihak polis selepas menayangkan pistol tiruan ke arah seorang pengguna jalan raya di lampu isyarat Permyjaya pada Khamis, dia ditahan pihak polis untuk siasatan lanjut.

Tangkapan dilakukan sekitar jam 11.30 malam di kediamannya di Jalan Hillstone oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Supt Mohd Sabri Zainol, tangkapan dilakukan susulan menerima satu laporan daripada seorang pesara yang mengatakan seorang lelaki telah mengacukan sepucuk pistol ke arahnya semasa di lampu isyarat tersebut pada Khamis sekitar jam 1.45 petang.

Suspek berusia 43 tahun itu ditahan kerana memiliki pistol tiruan.

Sebelum kejadian, suspek dipercayai telah melepaskan dua das tembakan ke arah kenderaan yang dipandu pengadu.

Semasa tangkapan, JSJ Miri turut menemukan senjata tersebut dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati ianya merupakan pistol tiruan.

Pistol tersebut bersama 45 butir peluru ditemukan di tempat duduk pandu hadapan kereta jenis Axia berwarna hijau milik suspek.

Suspek kini sedang ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki senjata tiruan tanpa lesen sah.

Kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya.

Kertas siasatan turut dibuka di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakuman ugutan jenayah. — DayakDaily