Padah panik kononnya terima panggilan dari SPRM, jurutera rugi RM7,150

Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah

Oleh Dean Adam

BINTULU, Nov 29: Gara-gara panik selepas menerima panggilan kononnya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mendakwa terlibat dalam kes jenayah, seorang jurutera elektrik lesap wang sebanyak RM7,150.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, kejadian yang menimpa lelaki berusia 30 tahun itu dilaporkan berlaku pada November 24 lepas.


Bagaimanapun katanya, laporan berhubung kes berkenaan hanya diterima semalam.

“Hasil maklumat diterima, mangsa telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri kononnya dari SPRM.

“Suspek kemudian mengatakan mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan mangsa diminta membuat laporan berkenaan maklumat peribadinya kerana telah digunakan pihak ketiga untuk memohon akaun JPMorgan Chase berkaitan dengan pengubahan wang haram,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, Mustafa menambah, selepas itu panggilan telefon kemudian disambungkan ke Bukit Aman kononnya berhubung dengan kes SPRM tersebut.

Katanya, suspek juga memberitahu waran tangkap ke atas mangsa telah dikeluarkan oleh pihak Mahkamah Tinggi untuk menahan mangsa.

“Seterusnya suspek memaklumkan mangsa bahawa kes berkenaan adalah sulit dan sekiranya perkara itu tidak benar maka kes berkenaan akan dipanjangkan ke unit cegah pengubahan wang haram (AMLA).

“Suspek juga memberitahu akaun milik mangsa perlu diaudit sebelum dia diberikan nombor akaun perlindungan CIMB Bank atas nama Nur Ziana Salleh,” jelasnya.

Tambah Mustafa, mangsa kemudian melakukan tiga transaksi memindahkan wang ke akaun yang diberikan suspek sebelum itu.

“Mangsa telah memindahkan wang sebanyak RM2,800 dari akaun CIMB Bank, RM3,150 dari akaun Public Bank dan RM1,200 dari akaun Affin Bank miliknya ke akaun yang telah diberikan suspek.

“Selepas itu, suspek juga mengarahkan mangsa untuk melaporkan diri kepada Puan Sheera dari unit AMLA setiap tiga jam,” katanya.

Mustafa menambah, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas memaklumkan perkara itu kepada isterinya.

“Jumlah kerugian yang ditanggung oleh mangsa sebanyak RM7,150,” ujarnya. ā€” DayakDaily