Padah miliki dadah, polis cekup tiga lelaki

Kelihatan dadah yang dirampas daripada tiga suspek.

PADAWAN, Ogos 12: Tindakan tiga lelaki memiliki dadah jenis syabu akhirnya membawa padah apabila mereka ditahan dalam serbuan di Kampung Sungai Agas di sini.

Kesemua lelaki berusia antara 23 hingga 28 tahun itu diberkas sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Padawan.

Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Aidil Bolhassan berkata, kejayaan serbuan dan tangkapan itu merupakan hasil maklumat awam dan risikan polis yang dilakukan.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek ditahan selepas anggota polis menahan sebuah kereta Perodua Myvi yang dinaiki mereka.

“Pemeriksaan di dalam kereta itu kemudian menjumpai satu plastik yang mengandungi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu

“Nilai pasaran dadah seberat 107.34 gram itu dianggarkan berjumlah RM13,000,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, Aidil memberitahu, siasatan awal mendapati suspek-suspek mengaku memiliki dadah tersebut dan memperolehi bahan terlarang itu dengan membeli secara transaksi bank.

Katanya, siasatan lanjut juga mendapati suspek mengaku menjual dadah untuk pasaran tempatan khasnya di kawasan Matang.

“Ujian air kencing ke atas semua suspek juga mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.

“Ketiga-tiga suspek ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya lagi.

Sambil menambah, seorang daripada suspek didapati memiliki rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. — DayakDaily