HUS kekal protokol sedia ada urus penyakit tangan, kaki dan mulut

Poster mencegah penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

KUCHING, Ogos 12: Hospital Umum Sarawak (HUS) akan mengekalkan protokol sedia ada dalam mengatasi dan menguruskan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Pengarah HUS, Dr Chin Zin Hing berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengadakan mesyuarat bagi menentukan jika terdapat keperluan bagi meminda protokol ketika berurusan dengan HFMD.

Menurut beliau, HUS akan mengikuti protokol dan prosedur yang sama seperti apa yang dilakukan ketika jangkitan sebelum ini.


“Ia bukan sesuatu yang baharu, tetapi jangkitan HFMD ini kembali semula.

“Sehubungan itu, kita (HUS) menasihati ibu bapa akan terus memantau rapi anak masing-masing sekiranya mereka menunjukkan simptom HFMD,” katanya.

Dr Chin menambah, antara simptom HFMD ialah demam, sakit perut, sakit kepala, sakit otot, sakit tekak dan kudis dalam mulut, tangan dan kaki.

Jelasnya, sekiranya terdapat tanda-tanda simptom HFMD itu, ibu bapa atau penjaga kanak-kanak tersebut perlu membawa mereka ke klinik atau hospital berdekatan.

“KKM ingin menasihati orang ramai, terutamanya yang mempunyai anak-anak kecil mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan risiko mereka dijangkiti.

“Basuh tangan dengan sabun dan air bersih selepas menggunakan tandas, sebelum menyediakan makanan, selepas menukar lampin dan mencuci najis kanak-kanak.

“Tutup mulut dan hidung semasa batuk dan bersin dan jangan berkongsi barangan peribadi seperti berus gigi, sapu tangan, tuala, selimut, cawan, garpu, dan sudu,” katanya.

Selain itu, orang awam perlu sentiasa mengekalkan kebersihan di rumah, pusat penjagaan kanak-kanak, tadika dan sekolah, dan persekitarannya.

“Basuh semua alat mainan dan permukaan meja, kerusi, lantai, dan sebagainya, yang telah tercemar dengan air liur kanak-kanak.

“Bawa kanak-kanak ke klinik atau hospital terdekat jika mereka mempunyai tanda-tanda atau simptom jangkitan.

“Ibu bapa juga dinasihatkan agar tidak membawa anak-anak mereka ke tempat awam yang ramai seperti kolam renang, pasar, pusat membeli-belah, stesen bas, dan lain-lain,” ujarnya. — DayakDaily