Padah miliki dadah, lima nelayan Myanmar dicekup

Kelihatan dadah yang dirampas oleh polis.

SARIKEI, Julai 4: Tindakan lima nelayan warga Myanmar yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah membawa padah apabila mereka ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Tanjung Manis di sini semalam.

Kelima-lima suspek yang berusia antara 25 hingga 39 tahun itu ditahan pada pukul 12.30 tengah malam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sarikei, Dsp. Zamry Ali berkata, menerusi serbuan itu, polis telah merampas 19 paket plastik lutsinar dan tiub penyedut minuman mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.


Katanya, anggaran kasar dadah yang dirampas adalah seberat 9.60 gram dengan nilai sebanyak RM2,880.

“Kejayaan serbuan itu adalah hasil maklumat awam dan risikan yang dilakukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah.

“Semasa serbuan dilakukan, kesemua nelayan asing itu sedang leka sebelum pemeriksaan dilakukan di rumah yang didiami suspek,” katanya.

Zamry menambah, ujian air kencing yang dilakukan mendpati empat daripada lima lelaki warga asing itu positif dadah jenis methamphetamine.

Manakala ujarnya, seorang lagi negatif dari sebarang pengaruh dadah.

“Kesemua suspek ditahan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya. — DayakDaily