Dana lebih banyak selepas penguatkuasaan OMO 1958 — Peter Minos

Dato Peter Minos

KUCHING, Julai 4: Sarawak dijangka memperoleh lebih banyak dana selepas penguatkuasaan Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 bermula Julai 1 lalu.

Penganalisis politik dan bekas pengerusi jawatankuasa publisiti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Peter Minos berkata, dana hasil industri minyak dan gas itu yang diperoleh kelak akan membolehkan kerajaan negeri merancang pelbagai pembangunan tambahan kepada rakyat di negeri ini.

Jelas beliau, hasil penguatkuasaan OMO 1958 itu juga merupakan landasan tepat kepada Sarawak untuk mencapai negeri berstatus maju.


“Menerusi sumber baharu daripada industri minyak dan gas kelak, saya yakin proses transformasi luar bandar boleh dilakukan secara menyeluruh.

“Pelbagai kemajuan serta pembangunan bakal sampai ke kawasan luar bandar seperti mana yang dinikmati oleh masyarakat di bandar sekarang,” katanya dalam satu kenyataan.

Peter menambah, tarikh Julai 1, 2018 merupakan satu detik masa yang perlu diingatkan oleh seluruh rakyat negeri ini kerana atas kejayaan kerajaan negeri dalam menguatkuasakan OMO 1958.

Katanya, selepas OMO 1958, beliau yakin kerajaan negeri akan berusaha untuk mendapatkan semula hak-hak Sarawak yang terhakis seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Saya optimis rakyat di negeri ini amat mencintai Sarawak meskipun banyak perkara di luar jangkaan berlaku.

“Saya juga yakin kerajaan negeri akan berjaya menyelesaikan isu MA63 dalam usaha memastikan hak-hak rakyat Sarawak tidak terhakis dan dilindungi,” katanya lagi.

DayakDaily sebelum ini melaporkan kerajaan negeri Sarawak tidak bercadang untuk memfailkan kes tuntutan hak pemilikan minyak dan gas ke Mahkamah Tinggi.

Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Kerajaan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, sebaliknya kerajaan negeri ini akan menguatkuasakan OMO 1958 pada Julai 1.

Tegasnya, kerajaan negeri telah mengkaji secara terperinci berhubung perkara itu sebelum membuat keputusan berkenaan.

“Adalah memadai apabila Mahkamah Persekutuan telah menolak permohanan Petronas untuk menuntut pengisytiharan syarikat minyak negara itu adalah pemilik eksklusif sumber petroleum negara ini termasuk di Sarawak,” katanya.

Manakala pada Jun 22 lalu, Pejabat Ketua Menteri Sarawak dalam satu kenyataan media berkata, penguatkuasaan undang-undang berkaitan aktiviti huluan minyak dan gas di negeri itu akan dilaksanakan seperti diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebelum ini.

Kata kenyataaan itu, keputusan itu diputuskan selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Petronas memulakan prosiding undang-undang terhadap kerajaan Sarawak untuk mendapat perisytiharan bahawa PDA 1974 terpakai bagi mengawal selia aktiviti huluan minyak dan gas di Sarawak.

Manakala pada Jun 4 lepas, Petronas telah memfailkan permohonan bagi kebenaran untuk memulakan prosiding itu mengikut Perkara 4 (4) Perlembagaan Persekutuan, memohon perisytiharan bahawa PDA 1974 terpakai bagi mengawal selia aktiviti huluan di Sarawak. — DayakDaily