Padah disyaki ambil dadah, empat lelaki dicekup

Beg yang disyaki mengandungi dadah dirampas polis.

BAU, Sept 21: Tindakan empat lelaki yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah akhirnya mengundang padah apabila mereka dicekup di sebuah rumah di Jambusan Lama.

Menurut Ketua Polis Daerah Bau, DSP Poge Nyaon, keempat-empat lelaki yang diberkas itu berusia antara 29 hingga 37 tahun.

Katanya, siasatan awal mendapati seorang daripada mereka disyaki memiliki dadah manakala tiga lagi positif dadah.


“Kesemua mereka ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak melebihi RM100,000,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, empat suspek tersebut akan direman sehingga 26 September untuk membantu siasatan.— DayakDaily