Kekalkan 33 institut latihan di bawah Kementerian Kesihatan, tegas Azih

Azih berucap di Perasmian Persidangan Perwakilan TriTahunan 2016-2019 CUEPACS Sarawak.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, SEPT 21: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyeru agar kerajaan tidak menutup 33 institut latihan yang di bawah Kementerian Kesihatan.

Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda berkata setakat ini 7 hingga 9 institut telah ditutup dan diubah fungsi di seluruh negara.

“Institut-institut ini sahajalah yang menyediakan tempat untuk penjawat awam terutama di bawah Kementerian Kesihatan dan juga agensi-agensi di bawah pihak berkuasa tempatan boleh menumpang untuk menghantar peserta-peserta mereka.

“Kakitangan-kakitangan mereka dilatih untuk menjadi seorang pekerja yang kompeten,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan TriTahunan 2016-2019 Cuepacs Sarawak di Kuching hari ini.

Tambah Azih, penutupan institut tersebut bakal memberi masalah kerana jika universiti menjadi pilihan, ia harus menyediakan kursus untuk melahirkan penjawat awam yang mungkin berkelayakan ijazah atau diploma universiti.

Katanya, kaedah latihan di universiti berlainan dengan 33 institut latihan Kementerian Kesihatan yang telah memainkan peranan selama ini.

“Institut-institut ini tidak seharusnya ditutup, kekalkan supaya boleh melahirkan tenaga terlatih dan pakar yang nanti akan memberi perkhidmatan kepada rakyat,” ujar beliau.

Mengulas isu lain, Azih memaklumkan yang tiada lebihan kakitangan berlaku di semua jabatan atau agensi kerajaan setakat ini.

Hingga ke hari ini, ujar beliau, kami difahamkan bilangan anggota kakitangan kerajaan mengikut jabatan dan agensi jauh dari mencukupi.

“Contohnya di Sarawak iaitu di bawah Kementerian Kesihatan, hospital-hospital baharu saya tak fikir kita boleh pinjam kakitangan dari hospital lama.

“Kalau ambil dari hospital lama maka ini akan mengurangkan pegawai-pegawai, paramedik, jururawat dan sebagainya di klinik atau hospital,” katanya.

Disamping itu tambah Azih, kerajaan harus faham yang mereka ini memberi perkhidmatan kepada rakyat dan bilangan yang datang ke hospital telah meningkat selain tempoh menunggu panjang yang dihadapi pesakit.

Turut hadir Presiden CUEPACS Sarawak Ahmad Malie.— DayakDaily