KUCHING, 1 Nov: Bekas Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato Ose Murang yakin ada kelulusan bagi permohonan status Pribumi Sarawak dalam tempoh 15 hari akan datang.
Hari ini, Ordinan Tafsiran (Pindaan) 2022 yang berkaitan dengan status Pribumi bagi mana-mana individu mula dikuatkuasakan dan permohonan dibuka di setiap Pejabat Daerah.
“Undang-undang baharu ini telah diluluskan oleh kerajaan negeri dan dikuatkuasa hari ini.
“Setelah mesyuarat pertama nanti iaitu dalam tempoh 15 hari lagi, kita harap jawatankuasa dapat meluluskan beberapa permohonan,” katanya ketika ditemui selesai perjumpaan bersama Residen Kuching Norleha Shariff di sini, hari ini.
Unit Pentadbiran di Jabatan Premier Sarawak bermesyuarat pada setiap 15 hari bulan bagi menilai dan membuat keputusan setiap permohonan status Pribumi.
Tambah Ose, Ordinan Tafsiran (Pindaan) 2022 sangat bermakna kepada rakyat Sarawak.
Sebelum ini katanya, tanpa status Pribumi, anak-anak tidak dapat mewarisi harta ibubapa.
“Seperti saya ada tanah dan isteri saya bukan Pribumi, saya tidak dapat mewariskannya kepada anak saya kerana dibawah Undang-Undang yang lama mereka tidak dianggap Pribumi Sarawak.
“Tetapi sekarang (setelah pindaan), sekiranya salah seorang ibu bapa berstatus Pribumi dan warganegara Malaysia maka anak-anak dapat mewarisi harta ini.
“Bukan itu sahaja, setelah mendapat status Pribumi, anak-anak ini juga boleh menikmati kemudahan biasiswa pengajian, amanah saham dan yang lain,” kata Ose. — DayakDaily