Ops Sarang: Polis tahan lima individu terlibat dadah

Dadah yang dirampas oleh polis.

SRI AMAN, Jan 26: Polis menahan lima individu termasuk seorang wanita selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah menerusi satu serbuan di rumah tidak bernombor di Batu Angus, Engkilili, hari Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Supt. Sahar Abd. Latif berkata, kesemua suspek yang berusia antara 26 hingga 52 itu ditahan pada pukul 1 petang.

Menurut beliau, tangkapan menerusi Ops Sarang itu dilakukan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman.

“Hasil serbuan, polis telah menemui satu kotak warna biru ditulis ‘CREE LED’ di ruang tamu rumah tersebut.

“Pemeriksaan lanjut, polis menjumpai enam paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 20.50 gram,” katanya ketika dihubungi semalam.


Mengulas lanjut, Sahar memberitahu, polis juga menemui 11 keratan penyedut minuman berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 5.50 gram.

Jumlah keseluruhan syabu yang dirampas ialah seberat 26 gram, ujarnya lagi.

“Polis juga merampas enam biji pil Erimin 5 dengan berat 1.70 gram daripada kelima-lima suspek,” jelasnya.

Tambah Sahar, ujian air kencing kesemua suspek turut positif dadah jenis metaphetamine dan amphetamine.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12 (2) ADB 1952 dan Seksyen 15 (1) ADB 1952. — DayakDaily