SFC patah cubaan seludup 170 batang kayu yang ditebang secara haram

Lori yang membawa muatan kayu yang ditebang secara haram.

KUCHING, Jan 26: Hasil maklumat awam, pasukan penguatkuasa dari Sarawak Forestry Corporation (SFC) sekali lagi berjaya mematahkan satu cubaan penyeludupan kira-kira 170 batang kayu pelbagai jenis dan saiz di Bukit Berangan Tengah, Jalan Kuap di sini semalam.

Menurut seorang jurucakap SFC, sejurus menerima maklumat awam kira-kira pukul 9 pagi, sepasukan pegawai penguatkuasa SFC bergegas ke lokasi untuk melakukan tindakan susulan.

Katanya, sebaik tiba di lokasi berdasarkan maklumat awam itu, pasukan pegawai berkenaan mendapati terdapat sebuah lori dengan muatan pelbagai kayu diletakkan di bahu jalan.


“Pemeriksaan lanjut mendapati, pemandu serta pembantunya telah lari meninggalkan lori tersebut.

“Mereka sempat melarikan diri selepas menyedari kehadiran pegawai penguatkuasa SFC,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mengulas lanjut, jurucakap SFC menambah, pemeriksaan juga mendapati tiada sebarang cop dari jabatan berkaitan pada semua kayu tersebut.

Katanya, pegawai SFC kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Kota Sentosa di sini berhubung rampasan kayu berkenaan.

“Nilai rampasan kayu masih lagi dalam siasatan dan kesemua barang rampasan akan diserahkan kepada Jabatan Hutan Sarawak untuk tindakan lanjut.

“Kejayaan hari ini merupakan yang ketiga hasil maklumat awam sejak Disember lalu,” ujarnya lagi. — DayakDaily