Ops Mulu: Cuaca tidak menentu bukan menjadi halangan unit udara bomba selamatkan pendaki warga Jepun

Kru helikopter bomba siap sedia berlepas.
Advertisement

Oleh Dean Adam

MIRI, Dis 18: Meskipun berdepan risiko bahaya terutamanya semasa mengharungi kabus dan awan tebal dalam operasi khas membawa keluar seorang pendaki warga Jepun yang terjatuh dari Gunung Mulu dekat sini, namun ia tidak menjadi halangan kepada pasukan unit udara bomba dalam menjayakan misi tersebut hari ini.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, pasukan unit udara yang terpaksa bermalam di Lapangan Terbang Mulu susulan faktor cuaca semalam telah menyambung operasi tersebut seawal pukul 7 pagi tadi.

Advertisement

Jelas beliau, helikopter Bomba jenis BMB 565 telah berlepas ke kawasan Kem 4 di Gunung Mulu bagi membawa keluar mangsa, Akihiro Noda, 25, yang cedera di bahagian punggung dan tulang rusuknya.

Kru unit udara bomba sedang melakukan operasi menyelamat.

“Berkat keberanian dalam menghadapi risiko bahaya, pasukan unit udara bomba berjaya menyelamatkan mangsa dengan menggunakan kaedah ‘winching’ dari Kem 4, kira-kira pukul 7.40 pagi.

“Tiga porter lain yang bersama mangsa juga dibawa keluar dengan menggunakan helikopter sebelum membawa mereka ke Lapangan Terbang Mulu.

“Manakala mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Miri dengan menggunakan helikopter bomba bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Law menambah, dalam operasi khas semalam seorang anggota bomba telah diturunkan di lokasi mangsa bersama tiga yang lain dikesan.

Katanya, selepas itu pasukan unit udara terpaksa terbang keluar dari puncak gunung tersebut kerana keadaan angin lintang yang agak kuat selain awan tebal telah menutupi kawasan berkenaan.

Kelihatan keadaan berkabus di sekitar Gunung Mulu.

“Pasukan unit udara bomba kemudian mengambil keputusan untuk terbang ke Lapangan Terbang Mulu memandangkan faktor cuaca yang tidak mengizinkan semalam.

“Memasuki hari kedua operasi pagi tadi, meskipun keadaan agak berkabus tebal, ia bukan menjadi penghalang kepada unit udara bomba untuk meneruskan operasi sehingga berjaya membawa keluar mangsa,” katanya.

DayakDaily sebelum ini melaporkan selepas tiga hari menahan kesakitan akibat terjatuh dari Gunung Mulu, seorang pendaki lelaki warga Jepun akhirnya berjaya dibawa keluar dari kawasan taman negara berkenaan hari ini.

Akihiro berjaya dibawa keluar boleh pasukan unit udara bomba menggunakan helikopter jenis BMB 565 kira-kira pukul 7.40 pagi. — DayakDaily

Advertisement