Ops banteras judi haram cekup 37 kaki judi

Anggota polis melakukan serbuan di premis judi haram.

KUCHING, Mei 27: Operasi membanteras perjudian yang dilakukan selama kira-kira 10 jam 30 minit berjaya memberkas 37 individu yang disyaki terlibat dalam aktiviti haram itu, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Dennis Leong Soon Kuai berkata, kesemua individu yang ditahan berusia antara 18 dan 63 tahun.

Jelas beliau, daripada 37 individu termasuk lima warga asing yang diberkas itu, 26 orang merupakan lelaki, manakala 11 lagi wanita.


“Sebanyak 33 serbuan telah dilakukan di 19 daerah iaitu Kuching, Kota Samarahan, Miri, Sibu, Padawan, Serian, Bau, Betong, Mukah, Julau, Lubok Antu, Lawas, Bintulu, Sri Aman, Limbang, Marudi, Simunjan, Sarikei dan Kapit.

“Kesemua serbuan itu melibatkan premis menjual loteri haram, judi dalam talian dan judi di tempat terbuka,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dennis menambah, hasil serbuan polis berjaya merampas wang tunai sebanyak RM5,150 dipercayai hasil daripada aktiviti judi haram berkenaan.

Katanya, polis turut merampas, 30 unit telefon bimbit, dua komputer riba, slip pertaruhan, kad judi serta peralatan lain yang disyaki digunakan untuk tujuan jenayah itu.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya. — DayakDaily