Operator dan kaki judi seperti ‘cacing kepanasan’, 33 individu ditahan

Individu yang disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian haram.

KUCHING, April 16: Operator serta kaki-kaki judi di negeri ini bagaikan ‘cacing kepanasan’ susulan kejayaan polis memberkas 33 individu yang terbabit dalam kegiatan perjudian haram pada minggu lalu.

Kesemua individu yang dicekup itu terlibat dalam aktiviti perjudian loteri haram, judi siber serta main judi holo di tempat awam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, semua suspek ditahan menerusi 27 serbuan yang dijalankan mulai April 8 hingga 15 lepas.


Jelas beliau, polis telah melakukan masing-masing lima serbuan di daerah Kuching dan Miri.

“Manakala selebihnya di Sibu (4), Padawan (4), Bau (4), dan masing-masing satu serbuan di Saratok, Sri Aman, Kota Samarahan, Limbang dan Bintulu.

“Kejayaan kesemua serbuan itu, polis telah merampas wang tunai sebanyak RM3,945 iaitu hasil daripada perjudian haram tersebut,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Dev menambah, dalam operasi melibatkan premis judi siber, polis telah menyita 12 unit tablet dan wang tunai berjumlah RM578.

Manakala ujarnya, menerusi serbuan di pusat-pusat jualan loteri haram pula, polis berjaya merampas wang tunai sebanyak RM3,217.

“Pelbagai peralatan seperti telefon bimbit, slip pertaruhan, mesin cetak mudah alih dan kalkulator turut dirampas.

“Dalam operasi judi holo, polis telah merampas wang tunai berjumlah RM150 serta peralatan berkaitan,” ujarnya.

Kes tersebut disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953. — DayakDaily