Polis serbu dan cekup pembuat senapang angin

Lima laras senapang angin buatan sendiri yang dirampas daripada suspek.

KUCHING, April 16: Meskipun usianya menjangkau 60 tahun, seorang lelaki tetap aktif membuat senapang angin sebelum senjata itu dijual kepada pembelinya.

Bagaimanapun, tindakan berani warga emas itu terbongkar apabila dia dicekup polis dalam satu serbuan di sebuah bilik sewa di Jalan Mendu di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, lelaki itu ditahan kira-kira pukul 4 petang.


Katanya, hasil serbuan polis merampas lima laras senapang angin buatan sendiri.

Kelihatan suspek yang membuat senapang angin berkenaan.

“Polis turut merampas 19 biji guli yang disyaki digunakan sebagai peluru senapang angin berkenaan.

“Pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk membuat senapang angin tersebut turut dirampas daripada suspek,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, Dev memberitahu, pihaknya masih menyiasat dari mana suspek memperoleh peralatan yang digunakan untuk membuat senapang angin berkenaan.

“Suspek kini ditahan reman untuk disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960,” katanya lagi. — DayakDaily