Operasi padam kebakaran sampah di Tanjung Kidurong diteruskan


Oleh Dean Adam

BINTULU, Mei 17: Operasi memadam sampah yang terbakar di Tapak Pelupusan Sampah Tanjung Kidurong di sini masih diteruskan hari ini.

Operasi yang memasuki hari ke-10 itu telah berjaya memadam sampah yang kebakaran seluas 0.5 ekar.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata operasi memadam itu menggunakan pam angkut air dari lori tangki bomba, Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan Trienekens (Sarawak) Sdn Bhd.

Pusat operasi memadam kebakaran sampah di Tanjung Kidurong.
Pasukan operasi di tapak kebakaran.

Katanya, pasukan operasi juga menggunakan dua aliran sepanjang 500 kaki, tiga nozel dan tiga jengkaut untuk mengorek beberapa lubang bagi memudahkan air menyerap terus ke dalam timbunan sampah.

“Antara lain, tiga buah takungan air telah dibina sebagai strategi memindahkan sisa yang masih terbakar ke dalam takungan tersebut.

“Anggaran luas kebakaran adalah lebih kurang 1.5 ekar dan kedalaman kebakaran adalah lebih kurang 30 hingga 40 meter,” katanya di sini hari ini.

Kelihatan longgokan sampah di tapak pelupusan sampah Tanjung Kidurong.

Jurucakap sama menambah, pihak Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) dan juga Jabatan Alam Sekitar (DOE) pula memantau keadaan dari segi kesan pembakaran terhadap alam sekitar.

Jelasnya, satu task force khusus untuk kebakaran tapak pelupusan telah ditubuhkan dan dipengerusikan oleh Residen Bintulu.

“Satu drone milik NREB juga digunakan untuk memantau kawasan yang terbakar dan mengenal pasti pusat kepala api. Buat masa ini operasi dilakukan pada waktu siang sahaja bermula 15 Mei lalu atas faktor keselamatan,” katanya. — DayakDaily