KUCHING, 7 Okt: Operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) lima pemancing yang dilaporkan hilang diperluaskan kawasan pencariannya hari ini.
Pengarah Maritim Sarawak Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata operasi yang memasuki hari ke-5 hari ini merangkumi kawasan pencarian seluas 526 batu nautika.
Katanya, sehingga tengah hari tadi, masih belum ada sebarang petunjuk baharu.
Bagaimanapun, usaha menyelamat kesemua mangsa masih giat dijalankan dengan harapan kesemua mangsa ditemui dalam keadaan selamat.
Lima mangsa yang dilaporkan hilang ialah tekong bot Khamizan Saidi(40), Ng Ching Hui (36), Christoper Teo (32), Yap Tze Kang (41) dan Leo Dy Lee Jiann Tarn (35).
Mereka dilaporkan hilang selepas tidak pulang pada hari yang sepatutnya ketika keluar memancing berdekatan Karam Berumput sehingga Tukun Bass di perairan Santubong.
Sementara Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) dalam kenyataannya turut memberitahu tinjauan udara dilakukan di kawasan Besi Buruk di perairan Santubong.
“Manakala empat bot penyelamat Bomba turut melakukan pencarian dari Tg Sipang, Santubong dan Telaga Air.
“Pencarian turut dilakukan di Sungai Trombol, Karam Berumput, Tukun Bass dan Tanjung Sipang oleh Jabatan Perikanan Laut Sarawak, Sarawak Coast Guard dan bot pemancing awam,” katanya.
Jelasnya, kelajuan angin adalah sekitar 40 hingga 50 kmj dan ketinggian ombak adalah 2.5 hingga 3.5 meter.
Bagi operasi Carilamat mangsa bot Okinawa yang dilaporkan karam bersama 10 mangsa iaitu dua kru kapal dan lapan pemancing telah ditamatkan pada jam 8 malam tadi.
Operasi ditamatkan selepas mangsa terakhir berjaya ditemui pada petang semalam. — DayakDaily