Operasi carilamat kru bot nelayan hilang diteruskan

Sekitar operasi carilamat hari kedua untuk kru bot nelayan yang yang dikhuatiri jatuh laut di Pulau Burong, Sebuyau.
Advertisement

KUCHING, 19 April: Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching meneruskan koordinasi Op Carilamat hari kedua untuk seorang kru bot nelayan tempatan yang dikhuatiri jatuh laut di Pulau Burong, Sebuyau semalam.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, sektor pencarian pada hari ini seluas 84.82 batu nautika persegi meliputi perairan Pulau Burong dan tukun berhampiran.

Katanya, Op Carilamat ini melibatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sarawak, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Sarawak Coast Guard (SCG) dengan keseluruhan kekuatan seramai 50 anggota dan turut dibantu oleh bot orang awam.

Advertisement

“Setakat ini, petugas carilamat masih belum menemui sebarang petunjuk kepada penemuan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, aset terlibat bagi pencarian pada hari ini adalah daripada Maritim Malaysia, JBPM, APM dan juga SCG bagi pencarian di laut, manakala pencarian melalui udara pula dilakukan oleh aset PGU Heli AS355N di sekitar perairan Pulau Burong.

“Keadaan laut dan cuaca di lokasi kejadian pada hari ini berawan serta hujan, kelajuan angin 20 hingga 30 kilometer sejam serta ombak dengan ketinggian 1.0 hingga 1.5 meter,” katanya.

Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim agar pastikan bot dalam keadaan baik dan batalkan niat ke laut sekiranya cuaca buruk.

“Sekiranya keadaan mendesak untuk ke laut, utamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan dan bawa bersama peranti Personnel Locator Beacon (PLB) untuk memudahkan pasukan penyelamat terus ke lokasi kecemasan,” katanya.

Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh Komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak ditalian 082- 432544/432016 yang beroperasi 24 jam. — DayakDaily

Advertisement