Op Khas Nombor Pendaftaran: 197 saman dikeluarkan, 407 kenderaan diperiksa di Kuching

Pemeriksaan dilakukan ke atas motosikal yang ditahan.

KUCHING, 9 Okt: Sebanyak 197 keping saman dikeluarkan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Kuching atas kesalahan nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan dan ‘fancy’ sepanjang Op Khas Nombor Pendaftaran.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata sebanyak 407 kenderaan dan 517 orang telah diperiksa sepanjang operasi tersebut yang bermula 4 hingga 8 Oktober lalu.

Katanya sebanyak 119 keping saman telah dikeluarkan di atas kesalahan nombor pendaftaran tidak ikut peraturan, 52 saman bagi kesalahan nombor ‘fancy’ dan 26 saman bagi kenderaan yang tiada nombor pendaftaran.


Motosikal mencatatkan jumlah paling banyak disaman iaitu sebanyak 55 saman bagi nombor tidak ikut peraturan, 29 saman bagi nombor ‘fancy’ dan 25 saman bagi kesalahan tiada nombor pendaftaran.

Bagi kereta pula mencatatkan 42 keping nombor tidak mengikut peraturan, 20 keping nombor ‘fancy’ dan satu saman bagi kesalahan tiada nombor pendaftaran.

Lain-lain saman dikeluarkan ke atas kenderaan jenis pacuan empat roda dan van.

Tambah Ashmon, Op Khas Nombor Pendaftaran akan dilaksanakan secara berterusan bagi mengelakkan berlakunya nombor pendaftaran yang sukar dibaca dan mengelirukan kerana ia menyebabkan penguatkuasaan had laju, kes langgar lari dan kes jenayah yang memerlukan pengecaman nombor pendaftaran tidak dapat dilakukan.

Justeru beliau menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan-peraturan jalan raya dan kaedah-kaedah lalu lintas yang telah ditetapkan. — DayakDaily