Op Daulat tingkatkan keupayaan pertahanan wilayah dua — Panglima Medan Timur Tentera Darat

Sofi berucap di Sambutan Ke 10 Tahun Pemerintahan Medan Timur Tentara Darat di Kem Muara Tuang.

Oleh Chris Bishop

KOTA SAMARAHAN, 26 Feb: Panglima Medan Timur Tentera Darat Lt Jen Dato Mohd Sofi Md Lepi hari ini melancarkan Sambutan Ke 10 Tahun Pemerintahan Medan Timur Tentara Darat di Kem Muara Tuang.

Dalam ucapannya, Sofi mengimbau peristiwa berdarah Kampung Tanduo pada Februari 2013 dan penglibatan tentera darat melalui Op Daulat.


Katanya, Op Daulat telah membuka dimensi baharu di dalam mengukuhkan pertahanan di wilayah dua.

“Kepimpinan tentera darat terus memberikan tumpuan dan perubahan dalam memastikan pemerkasaan, kesiapsagaan dan keupayaan pertahanan dipertingkatkan di wilayah dua.

“Sepanjang 10 tahun Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat telah mengalami evolusi pertahanan seiring dengan keperluan dan perubahan masa,” katanya.

Sempena pelancaran sambutan, perbarisan terdiri daripada empat detasmen melibatkan 265 anggota termasuk pegawai dan lain-lain pangkat turut diadakan.

Perbarisan diketuai Pegawai Memerintah Batalion ke 13 Rejimen Askar Melayu Diraja Lt Kol Syarulniza Jamil.

Turut berlangsung pada hari ini ialah penyerahan skrol yang mengandungi 10 senarai program yang dirancang sempena Sambutan Ke 10 Tahun Pemerintahan Medan Timur Tentara Darat.

Selain itu pelancaran logo rasmi sempena 10 tahun penubuhan Pemerintahan Medan Timur Tentara Darat turut diadakan.

Hadir sama Panglima 1 Divisyen Mej Jen Datuk Mohamed Fauzi Kamis dan Panglima 5 Divisyen Mej Jen Datuk Malek Razak Sulaiman. — DayakDaily