KUCHING, 19 April: Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching meneruskan koordinasi Op Carilamat hari kedua ke atas seorang penyelam yang disyaki hilang pada Sabtu lepas di perairan Pulau Satang Besar, dekat sini.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, keluasan sektor pencarian pada hari ini adalah seluas 466.68 batu nautika di sekitar perairan Pulau Satang Besar.
Jelasnya juga pencarian melalui udara turut dilaksanakan meliputi dari perairan Tanjung Sipang ke Tanjung Datu.
Op Carilamat ini melibatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sarawak, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan keseluruhan kekuatan seramai 41 pegawai dan anggota.
Aset terlibat bagi pencarian pada hari ini adalah aset-aset daripada Maritim Malaysia, PPM, PGU, JBPM, dan juga menggunakan drone APM.
“Pencarian udara oleh aset PGU Cessna Caravan di sekitar perairan Pulau Satang sepanjang hari ini tidak menemui atau mengesan sebarang objek dan petunjuk berkaitan,” katanya.
Keluarga mangsa turut ikut serta dalam pencarian pada hari ini dengan menaiki aset Maritim Malaysia dan pihak PPM telah membuat selaman di lokasi kejadian namun tiada sebarang petunjuk ditemui.
Setakat jam 6 petang, petugas Carilamat masih belum menemui sebarang petunjuk berkenaan dengan mangsa.
Susulan itu, SAR ditangguhkan pada jam 6 petang kerana jarak penglihatan yang terhad dan akan diteruskan semula pada 7 pagi esok.
Mangsa dikatakan telah melakukan aktiviti selaman secara solo atau bersendirian dan disyaki hilang setelah hampir satu jam setengah masih tidak timbul di permukaan air.
Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim agar sekiranya ingin melakukan sebarang aktiviti selaman laut dalam untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa dan dinasihatkan agar membuat selaman secara berpasangan atau berkumpulan.
Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh Komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak ditalian 082-432544 yang beroperasi 24 jam. — DayakDaily