Oleh Juetila Ozzy
BINTULU,14 April: Operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) nelayan yang dilaporkan terjatuh laut di Perairan Igan, dekat sini beberapa hari lepas masih belum berjaya menemui mangsa.
Pemangku Pengarah Zon Maritim Bintulu, Komander Maritim Effendy Mohamed Fadil berkata operasi yang memasuki hari keempat hari ini diperluaskan kawasan pencarian ke 181.43 batu nautika di sekitar perairan laut Igan dan pesisiran pantai (Igan ke Oya).
Jelasnya, sehingga jam 7 malam tadi, pasukan operasi masih belum menemui sebarang petunjuk berkenaan mangsa dan operasi ditangguhkan kerana jarak penglihatan yang terhad.
“Empat aset terlibat bagi pencarian pada hari ini iaitu aset-aset daripada Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin( PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan juga Angkatan Pertahanan Awam Malysia (APM).
“Pencarian pada hari ini melibatkan seramai 33 pegawai dan anggota petugas di lokasi kejadian. Turut berada di PHC adalah ahli keluarga mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim agar batalkan niat ke laut sekiranya cuaca buruk dan sekiranya keadaan mendesak untuk ke laut, utamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan memandangkan keadaan cuaca di laut pada masa ini yang kurang baik.
Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh Komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Bintulu talian 086-314237 / Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak ditalian 082-432544 yang beroperasi 24 jam. — DayakDaily