Op Carilamat lima pemancing masih tiada petunjuk baharu

Nurul semasa bercakap kepada pemberita.

KUCHING, 8 Okt: Pasukan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) lima pemancing yang memasuki hari ke-6 hari ini masih tiada menemui petunjuk baharu.
Penolong Pengarah Kanan Unit Cari Lamat dan Bantuan Bencana Maritim Sarawak Leftenan Komander Maritim Sarawak Nurul Elmi Ali berkata petunjuk terakhir yang ada sebelum ini adalah penemuan boya yang disahkan pemilik bot adalah dari bot yang hilang.
Katanya, pencarian hari ini dibahagikan kepada empat sektor dan keluasan sektor pencarian diperluas ke 483.29 batu nautika persegi.
“Tiada sebarang petunjuk baharu ditemui setakat ini,” katanya ketika kepada pemberita.
Jelasnya, pencarian hari ini lebih tertumpu di 15 Batu Nautika dari pesisir pantai iaitu merangkumi perairan Besi Buruk, Tanjung Sipang, Karang Berumput, Tukun Bass dan sekitar Pulai Lakei.
Pencarian di laut pada hari ini turut dibantu oleh aset daripada Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Perikanan Laut Sarawak, Sarawak Coastguard (SCG) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Manakala pencarian dilakukan oleh aset dari Unit Udara Bomba dan Pasukan Gerakan Udara.
“Pencarian turut dibantu oleh lapan buah bot pancing dari komuniti maritim yang melakukan pencarian di sebelah Timur dari kawasan perairan Besi Buruk,” katanya.
Untuk makluman, arah angin bertiup dari Barat Daya dengan kelajuan angin 40-50 kilometer sejam serta ketinggian ombak setinggai 2.5 hingga 3.5 meter.
Nurul selain itu memberitahu esok merupakan hari ke-7 operasi Carilamat dan sekiranya masih tiada pentunjuk baharu maka operasi akan ditamatkan.
“Sungguhpun begitu, operasi di laut lepas dengan menggunakan dua kapal maritim akan diteruskan,” katanya.
Mangsa yang masih hilang ialah Kamizan Zaidi (tekong), Yap Tze Kang, Ng Chin Hui, Christopher Teo dan Leo Dy Lee Jiann Tarn.
Pangkalan Hadapan Carilamat telah dipindahkan dari jeti awam Telaga Air ke Jeti Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) bermula hari ini. — DayakDaily
Pangkalan hadapan dibuka di Jeti JPLS di Santubong.