KUCHING, 9 Nov: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Maritim Tanjung Manis mempergiatkan kawalan keselamatan bagi mengawal sempadan perairan Sarawak daripada dibolosi oleh pendatang tanpa izin.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, ia bertujuan untuk mengekang penularan kes Covid 19 di negeri ini melalui jalan laut.
Menurut beliau, dalam kejadian pada 4 November baru-baru ini, sebuah bot tunda dan tongkang yang bergerak dalam keadaan mencurigakan telah ditahan dan diperiksa di sekitar perairan Belawai.
āHasil pemeriksaan mendapati bot tunda tersebut berlepas dari Kudat, Sabah dan sedang menuju ke pelabuhan Tanjung Manis bersama enam orang kru termasuk nahkoda iaitu seorang lelaki warga tempatan, tiga lelaki warga India dan dua lelaki warga Indonesia yang berumur dalam lingkungan 25 hingga 57 tahun,ā katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Tambah Zin, pemeriksaan kesihatan turut dilakukan serta pemeriksaan dokumen Pas Pelepasan Pelabuhan dan Perubatan mengikut garis panduan dan langkah-langkah pencegahan di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).
Bot tunda, tongkang, kru serta muatan kayu yang dibawa dilepaskan setelah majikan mengemukakan dokumen kelulusan dari pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Tanjung Manis.
āPada Oktober lepas sehingga ke hari ini, pihak Maritim Negeri Sarawak telah melakukan sebanyak 1,218 pemeriksaan, lapan tangkapan atas pelbagai kesalahan dan satu pengesanan curiga dapat dikesan atas maklumat awam,ā jelas Zin lagi.
Zin menggesa komuniti maritim supaya mengutamakan amalan SOP KKM selain mengingatkan para nelayan, pekerja kapal, pemancing dan penumpang bot untuk sentiasa menjaga keselamatan dengan memakai jaket keselamatan.
Katanya, kini keadaan laut bergelora dan cuaca yang tidak menentu akibat fasa peralihan Angin Monsun Barat Daya yang meliputi Pantai Timur Semenanjung dan Pantai Barat Sabah dan Sarawak bermula 24 September sehingga November 2020.
Orang ramai disarankan untuk menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak jika berlaku kecemasan atau kejadian mencurigakan menerusi talian 082-432544 atau MERS 999. ā DayakDaily