Warga asing disyaki memiliki dadah jenis syabu ditahan polis

Dadah dipercayai Syabu dirampas.

Oleh Brad Rantayy

BINTULU, 10 Nov: Polis menahan seorang lelaki warga asing dan merampas dadah jenis syabu bernilai RM1,000 di kawasan tangga sebuah kedai makan di sini pada Ahad (8 November).

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Zulkipli Suhaili dalam satu kenyataan berkata, suspek lelaki berusia 21 tahun itu ditahan sekitar jam 11 pagi.


“Hasil pemeriksaan teliti ke atas lantai rumah tersebut telah menjumpai sepuluh keratan straw tiub lutsinar kemerahan yang berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu, ” ujarnya.

Tambahnya, suspek berada di dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan sepasukan Polis dari Bahgian Siasagan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu.

“Berat kasar keseluruhan dadah yang dirampas ialah 7.4 gram dengan nilai harga pasaran lebih kurang RM1,000,” katanya.

Suspek ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun dan sebatan tidak kurang tiga dan sembilan sebatan. — DayakDaily