BAU, Jan 6: Gara-gara kereta hilang kawalan dan terbabas di laluan bertentangan, seorang lelaki maut apabila kenderaan yang dipandunya itu bertembung dengan sebuah lori di Jalan Bau-Kuching berhampiran Taman Siniawan di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu mengakibatkan mangsa, Goven Liget, 33, disahkan meninggal dunia akibat tersepit dan kecederaan parah yang dialaminya.
Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 6.33 pagi.
Katanya, sejurus menerima laporan insiden, sepasukan 12 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bau dikerahkan ke lokasi kemalangan untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.
“Sebaik tiba di lokasi kemalangan, pasukan bomba mendapati sebuah kereta Perodua Kancil telah bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu.
“Impak rempuhan itu mengakibatkan depan kereta mangsa remuk dan menyebabkan mangsa tersepit dan maut di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Tiong, pasukan bomba mengambil masa kira-kira sejam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Ujarnya, pemandu lori tersebut pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Operasi tamat sepenuhnya selepas mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. — DayakDaily