Nyawa enam nelayan hampir ‘melayang’ apabila bot dinaiki karam dipukul ombak besar

Kelihatan keadaan bot yang karam di kedudukan 12 batu nautika dari pesisir Pantai Bintulu.

BINTULU, Ogos 2: Enam nelayan tempatan berdepan detik mencemaskan apabila bot yang dinaiki mereka karam dipukul ombak besar dalam satu kejadian di Perairan Bintulu, dekat sini.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, kesemua mereka yang berumur antara 20 hingga 55 tahun itu berjaya diselamatkan oleh anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Bintulu.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Shahref Steve Mac Queen Abdullah berkata, sebelum itu pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada tekong bot berkenaan memaklumkan bot mereka dipukul ombak besar.

Katanya, tekong bot tersebut sempat menghubungi pihaknya sebelum bot yang dinaiki mereka karam di kedudukan 12 batu nautika dari pesisir Pantai Bintulu dekat sini.

“Sejurus menerima panggilan kecemasan itu, sepasukan anggota APMM Bintulu dengan menggunakan Kapal Maritim (KM) Jepak telah diarahkan ke lokasi melakukan operasi menyelamat.

“Apabila tiba, pasukan APMM mendapati lima nelayan berkenaan berjaya menyelamatkan diri, manakala seorang kru telah diselamatkan oleh sebuah bot nelayan tempatan yang berada di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shahref menambah, KM yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan semua mangsa dalam keadaan selamat.

Ujarnya, kesemua mangsa kemudian dibawa pulang ke jeti perikanan yang berhampiran.

“Kami juga memberi peringatan kepada seluruh komuniti maritim terutamanya kepada pengusaha bot nelayan tempatan supaya melengkapkan bot mereka dengan jaket keselamatan dan pelampung keselamatan bagi digunakan pada waktu kecemasan.

“Bot-bot kecil juga disarankan agar tidak keluar ke laut jika terdapat amaran cuaca buruk daripada Jabatan Meteorologi Malaysia.

“Komuniti maritim boleh melaporkan sebarang aduan kecemasan secara terus ke talian 24 jam Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu di talian 086-314237/254,” katanya lagi. — DayakDaily