Gempar jumpa mayat dalam parit

Keadaan mayat seorang lelaki yang ditemui mati dengan kesan jerut di lehernya.

KOTA SAMARAHAN, Ogos 2: Penduduk di Kampung Serpan Ulu, Asajaya dekat sini gempar dengan penemuan mayat seorang lelaki yang ditemui mati di dalam sebuah parit di kampung berkenan, semalam.

Mangsa yang berusia 44 tahun dan berasal dari Kampung Tengah Tebelu, Simunjan ditemui dalam keadaan tertiarap dalam parit oleh penduduk kampung kira-kira pukul 10.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, DSP Lee Chong Chern berkata, sepasukan anggota polis diarahkan ke lokasi penemuan mayat mangsa sejurus menerima maklumat berhubung kes itu.

Menurutnya, apabila tiba di lokasi kejadian, pasukan polis mendapati mayat lelaki berkenaan masih berada di dalam parit.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapar kesan jerut wayar di leher mangsa sebelum mayat lelaki berkenaan dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk dibedah siasat,” katanya hari ini.

Lee menambah, siasatan di sekitar tempat penemuan mayat mangsa tiada menemui sebarang unsur jenayah.

Katanya, buat masa ini kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini juga minta tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya. — DayakDaily