MUKAH, Mei 22: Seorang pemandu kereta nyaris maut selepas kenderaan Naza Ria yang diletakkan di tepi jalan di pasar lama di sini tiba-tiba terbakar, hari ini.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 petang itu, tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah, Johan Sahadan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.54 petang.
Katanya, sejurus menerima laporan itu, sepasukan anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi pemadaman kebakaran.
“Apabila tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati bahagian enjin kenderaan tersebut sedang terbakar, namun pemandu kenderaan itu telah keluar menyelamatkan diri.
“Pasukan bomba kemudian melakukan pemadaman kebakaran bagi mengelak kejadian lebih buruk daripada berlaku,” katanya di sini hari ini.
Johan menambah, operasi memadam kebakaran enjin kenderaan itu tamat sepenuhnya pada pukul 4 petang.
“Pasukan bomba kembali semula ke balai selepas keadaan di kawasan kejadian dalam keadaan terkawal,” ujarnya. — DayakDaily