Nilai jualan Kempen Beli Barangan Malaysia meningkat sebanyak RM3.3 bilion pada 2020

Hasnol (kanan) merasmikan Kempen OHMYDIN sempena Kempen Beli Barangan Malaysia hari ini (26 Okt 2021).
Advertisement

KUCHING, 26 Okt: Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) pada tahun 2019 mencatatkan nilai jualan sebanyak RM2.87 bilion.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, ia melibatkan sebanyak 279,000 ‘stock keeping unit’ (SKU) bagi sektor peruncitan dan RM6.84 juta nilai jualan diperolehi melalui portal dalam talian.

“Sementara pada tahun 2020, pelaksanaan KBBM telah menyaksikan peningkatan sebanyak RM3.3 bilion dengan jumlah SKU melebihi 326,000.

Advertisement

“Portal dalam talian ‘marketplace’ telah mencatakan peningkatan yang amat besar pada tahun 2020 berbanding tahun 2019 dengan nilai jualan melebihi RM145 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kempen OHMYDIN sempena Kempen Beli Barangan Malaysia hari ini.

Tambah Hasnol, pelaksanaan KBBM bagi tahun 2021 merangkumi pelaksanaan inisiatif-inisiatif seperti bantuan dan insentif penembusan produk-produk PKS ke dalam sektor peruncitan.

Katanya, ini termasuk insentif penembusan, promosi jualan dan pemasaran dalam talian, pelan media KBBM, kolaborasi khas bersama syarikat, promosi dan pengiklanan dan program citarasa Malaysia.

KBBM juga merupakan sebuah inisiatif yang akan membantu pengusaha-pengusaha tempatan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam memasarkan produk dan perkhidmatan.

Sektor PKS akan memainkan peranan penting dalam ekonomi negara dan dijangka akan menyumbang kepada peningkatan peratusan KDNK Malaysia menjelang 2020.

KBBM dilaksanakan dan diperkukuhkan secara komprehensif berikutan cabaran globalisasi perniagaan dan ‘country of origin effect’ yang banyak menyumbang kepada pemilihan dan pembelian barangan import. — DayakDaily

Advertisement